Ibu maafkan aku | Teen Ink

Ibu maafkan aku

April 11, 2016
By Anonymous

   Maira, seorang gadis yang berasal daripada keluarga yang kaya sibuk merenung ke luar tingkap sambil memikirkan sesuatu. Fikirannya bercelaru dengan masalah ekonomi yang sedang dihadapinya sekeluarga ditambah pula dengan kehilangan ibunya yang tersayang baru-baru ini. Air matanya mengalir tanpa henti. Dia terimbas kembali akan kejadian yang berlaku sehari sebelum ibunya pergi meninggalkannya.

   "Maira, tolong ibu kemaskan ruang tamu," pinta ibunya. Sepantas kilat Maira menjawab dengan suaranya yang lantang," Ibu buatlah sendiri. Ibu masih berdaya dan ada kudrat untuk kemas ruang tamu. Maira terlalu sibuk dengan kerja yang diberi oleh cikgu" jeritnya dari tangga. Ibunya mengeluh lalu terdetik dalam hatinya 'Andainya tiba ajalku esok,siapalah yang akan mengemas rumah sebesar ini,' keluh hatinya. Dia teringat bahawa dia terlalu memanjakan anaknya sehingga anaknya yang tersayang tidak mahu mendengar arahannya. Sementara itu, Maira sedang baring terlentang di atas katil sambil mendengar lagu. Dia sedikit pun tidak sedar akan kesalahannya itu.

   Pada malam itu, ibunya telah menyediakan makan malam yang tersangat istimewa iaitu nasi arab bersama pencuci mulut yang digemari Maira iaitu pavlova. Setibanya waktu makan malam, kepala ibu Maira terasa pening dan sakit. Dia menyuruh Maira bersama papanya makan dahulu dan tinggalkan sedikit untuknya. Maira bersama papanya makan dengan penuh berselera. Papanya yang sudah kenyang membawa pinggan ke sinki lalu mencucinya, manakala Maira masih lagi makan dengan berselera. Setelah beberapa minit, ibunya tiba di meja makan. Dia terasa terkejut apabila melihat kesemua lauk-pauk dan makanan telah dihabiskan oleh Maira. Maira dengan muka yang tidak bersalah berkata kepada ibunya," Ibu sedaplah masakan ibu hari ini, lain kali masaklah lagi makanan sesedap ini. Penuh perut Maira menghabiskan makanan ini," katanya dengan muka selamba.

   Ibunya berasa sangat sedih lalu berlari-lari anak menuju ke bilik tidurnya. Maira terpinga-pinga namun membiarkan sahaja ibunya pergi begitu sahaja. Ibunya menangis teresak-esak di samping suaminya yang tercinta."Apalah yang akan terjadi kepada Maira. Sekiranya suatu hari nanti kita sudah tiada, di manalah tempat yang dia akan tuju sekiranya tiada sesiapa yang menjaganya," kata suaminya sambil memujuk isterinya. Ibu Maira pergi ke dapur semula untuk menjamah sedikit biskut dan dia terlihat pinggan-mangkuk yang kotor diatas meja. Dia lantas memanggil Maira lalu berkata "Maira, kamu sudah besar cucilah pinggan-mangkuk yang sudah kamu gunakan itu. Ibu tidak larat untuk mencucinya setiap kali waktu makan, sudah tiba masanya untuk kamu memikul tanggungjawab itu," kata ibunya dengan suara yang lembut.

   "Ibu,bukankah itu tugas ibu sebagai seorang suri rumah sepenuh masa? Ibu tidak perlu pergi ke sekolah atau bekerja kerana segalanya telah disediakan oleh papa, jadi ibu buat sahaja kerja ibu dan biarkan Maira dan papa buat kerja kami sendiri," balas Maira lalu meninggalkan ibunya sendirian di dapur. Dengan hati yang kecewa, ibunya mencuci semua pinggan-mangkuk lalu menjamah sedikit biskut. Kemudian, ibunya menunaikan solat Isyak. Dalam doanya dia berkata,"Ya Allah, apakah kesilapan yang telah kulakukan sehingga anakku sendiri tidak mahu mendengar cakapku. Siapalah yang akan mendorongnya ke jalan yang benar bila aku sudah tiada lagi. Andainya malam ini malam terakhirku, solat ini solat terakhirku dan doa ini doa terakhirku ampunkanlah segala dosa anakku Maira, Ya Allah. Berikanlah dia petunjuk dan hidayah agar dibukakan pintu hatinya untuk bertaubat," diakhir doanya, air matanya menitis memikirkan anaknya.

   Keesokan paginya, Maira dan papanya berasa terkejut apabila di lihat di atas meja tiada disediakan sarapan pagi yang biasanya terhidang di atas meja. Maira berjalan menuju ke bilik tidur papa dan ibunya untuk menjenguk ibunya. Apabila, Maira masuk ke dalam bilik tersebut, dia terlihat ibunya terlantar di atas katil.'Mungkin ibu terlampau letih, tak perlulah aku menggangu ibu,' katanya di dalam hati. Tetapi setelah beberapa puluh minit, ibunya masih tidak terjaga. Maira berasa hairan lalu cuba mengejutkan ibunya.

   Tetapi sebaik sahaja dia berdiri di sisi ibunya, air matanya mengalir. Dia memeluk ibunya lalu pergi ke arah papanya sambil menangis."Papa, ibu dah tiada," kata Maira sambil menangis. Papanya terkejut lalu segera berlari ke arah bilik tersebut. Tepat jam 12.00 tengah hari, imam masjid terdekat tiba bersama penduduk taman perumahan. Jenazah ibunya diuruskan dan dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak berdekatan taman perumahan mereka. Terdetik dalam hati Maira perasaan bersalah terhadap ibunya."Ibu, maafkan Maira. Maira banyak buat salah dengan ibu," tangis Maira sewaktu melihat ibunya dikebumikan. Sehingga sekarang, Maira masih menyesali perbuatannya. Setiap hari, dia akan berdoa untuk ibunya dan memohon ampun akan kesalahannya.



Similar Articles

JOIN THE DISCUSSION

This article has 0 comments.